Sepintas Lalu

Koperasi KOSPETA telah ditubuhkan pada 26.05.1983 bertempat di Hotel Travel Lounge, Butterworth, Seberang Perai. Pada mulanya Koperasi KOSPETA telah menumpang pejabat Kesatuan ANULAE Semenanjung Malaysia di Suleiman Court, Jalan Raja Laut, Kuala Lumpur.

Apabila Kesatuan ANULAE berpindah ke pejabatnya di Wisma ANULAE, Koperasi turut mengorak langkah dengan menyewa 1 ruang pejabat di No. 76-3B, Wisma ANULAE, Jalan Raja Bot, Kuala Lumpur dan kemudiannya berpindah ke ruang pejabat bersebelahan iaitu di No. 74-3A. Seterusnya menyewa tambah satu lagi ruang No. 74-3B, di bangunan yang sama sehingga April 2002

Pada awal penubuhannya, Koperasi hanya mempunyai seramai 100 orang anggota dengan seorang wargakerja. Lama kelamaan keanggotaannya terus bertambah sehingga Disember 2006 sudah meningkat kepada 12,518 orang dan wargakerja pula dari seorang telah meningkat kepada 22 orang.

Koperasi KOSPETA telah merayakan perayaan 10 tahun penubuhannya pada 22 Mei, 1993 di Lobi Dewan Bandaraya Kuala Lumpur. Koperasi KOSPETA dibawah kepimpinan Tokoh Koperasi Kelas Pertama, Tuan Haji Zainal Abidin bin Hj. Muhammad yang tidak kenal erti penat lelah telah membawa Koperasi KOSPETA memasuki era baru Koperasi dengan merencanakan RANCANGAN 5 TAHUN pertamanya menuju matlamat Wawasan 2020

Koperasi KOSPETA adalah Ahli Gabungan kepada Koperasi puncak iaitu ANGKASA yang bergabung dengan Ikatan Koperasi Antarabangsa ( ICA).

Pada 6 April, 2002, Koperasi KOSPETA sekali lagi menempa sejarah iaitu berpindah ke bangunan baru milik Koperasi sendiri iaitu di alamat 10 & 12, Jalan 6/3A, Pusat Bandar Utara, 68100 Batu Caves, Kuala Lumpur.

Sebanyak dua (2) buah unit Bangunan Kedai Pejabat 4 tingkat ini telah dibeli dengan harga RM986,480.00 hasil dari pinjaman tabung modal pusingan Jabatan Pembangunan Koperasi (JPK) iaitu sebanyak RM863,200.00 yang dipinjam pada tahun 1995. Hasrat anggota untuk melihat dan memiliki serta menduduki bangunan sendiri kini telah tercapai. Kedua-dua tingkat bawah dan atas untuk sewaan, manakala tingkat 1 & 2 bagi kedua-dua unit dijadikan pejabat pentadbiran koperasi.

Pemindahan ke pejabat baru telah memberi aspirasi kepada Anggota Lembaga Koperasi membuat perancangan yang bernas dalam memberi perkhidmatan terbaik untuk seluruh anggota Koperasi. Koperasi mesti memiliki pengurusan yang cekap, proaktif, amanah, telus dan memiliki daya saing untuk mencapai matlamat ekonomi yang mantap.

Kini Koperasi KOSPETA Semenanjung Malaysia Berhad telah meningkat usia kedewasaannya menjangkau 25 tahun dengan modal syer sebanyak RM 42 juta.